Polis rampas rokok, minuman keras seludup lebih RM98 juta

Polis rampas rokok, minuman keras seludup lebih RM98 juta

Lapan lelaki terdiri daripada tujuh rakyat tempatan dan seorang warga asing turut ditahan selepas polis menumpaskan sindiket berkenaan di Kuching, Sarawak.

Antara rokok dan minuman keras tidak bercukai dengan kastam bernilai lebih RM98 juta yang dirampas dalam tiga serbuan di Kuching, Sarawak, Selasa lepas. (Gambar PDRM)
KUALA LUMPUR:
Polis menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai kastam dengan rampasan bernilai lebih RM98 juta menerusi tiga serbuan di Kuching, Sarawak, Selasa lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Hazani Ghazali, berkata serbuan itu adalah hasil risikan bersama antara Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) bersama Pasukan Polis Marin Wilayah 5, Pasukan Gerakan Am Briged Sarawak dan polis Sarawak.

Beliau berkata hasil serbuan itu, polis menahan lapan lelaki terdiri daripada tujuh rakyat tempatan dan seorang warga asing, selain merampas 40,469,600 batang rokok pelbagai jenis dan 44,716 kotak minuman keras tidak bercukai kastam.

“Turut dirampas dua jenis kenderaan dan lima unit telefon bimbit. Kesemua rampasan bernilai RM98,793,958.51.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata bagi tempoh 1 hingga 7 Jan lepas, polis menahan 91 individu serta merampas pelbagai barangan tidak berkastam, diesel bersubsidi serta haiwan dan hidupan liar bernilai lebih RM181 juta.

Hazani berkata kejayaan itu diraih menerusi tiga operasi iaitu Op Taring Alpha 1, Op Taring Alpha 2, Op Taring Bravo 1 dan Op Bersepadu Khazanah.

“Polis sentiasa komited dalam memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak berkastam, penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi agar tidak berlakunya ketirisan hasil negara.

“Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa amatlah digalakkan agar kegiatan jenayah dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.