
Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail, berkata jumlah itu meningkat berbanding operasi sebelumnya pada Disember lalu yang hanya merekodkan 40,000 fail digital.
“Seramai 31 suspek berjaya ditahan, merangkumi 25 sasaran utama dan enam tangkapan susulan,” katanya dalam sidang media Op Pedo Bersepadu PDRM-SKMM 2.0 di Bukit Aman.
Beliau berkata, semua suspek lelaki berusia 12 hingga 71 tahun terdiri pelbagai latar belakang termasuk pelajar sekolah dan IPT, guru, jurutera, pereka grafik serta penganggur.
Katanya, siasatan mendapati sebahagian suspek menggunakan aplikasi Telegram, WhatsApp, Facebook, Instagram, Tumblr, dark web serta storan awan (cloud storage) untuk memuat turun dan berkongsi bahan CSAM.
“Sebahagian daripada mereka juga bertindak sebagai pentadbir kumpulan Telegram dan menawarkan akses berbayar kepada bahan CSAM melalui transaksi e-wallet dan kod QR perbankan seperti Bank dan Touch ’n Go.
“Kewujudan elemen komersialisasi menjadikan pola jenayah yang semakin berstruktur dan bermotifkan keuntungan kewangan,” katanya.
Khalid turut mendedahkan, penglibatan remaja berusia 17 hingga 21 tahun dalam kegiatan itu, termasuk seorang pelajar yang mencatat aliran kewangan sebanyak RM76,000 dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Katanya, membimbangkan peningkatan drastik fail CSAM dari tahun ke tahun memerlukan kapasiti penyiasatan, kepakaran forensik digital serta infrastruktur penyimpanan bukti bagi menampung pertumbuhan eksponen data jenayah.
“Penemuan ini menuntut pendekatan penguatkuasaan berasaskan prinsip kerjasama erat antara agensi dalam menumpaskan jenayah yang dimaksudkan,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 82 peranti digital seperti komputer, telefon bimbit, modem dan storan digital dirampas dalam operasi berkenaan.
Sebanyak 29 kertas siasatan dibuka bawah pelbagai peruntukan undang-undang dan setakat ini, 17 suspek didakwa di mahkamah manakala 14 lagi dibebaskan dengan jaminan polis.
Tangkapan dibuat hasil risikan digital dan pemantauan berterusan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama SKMM antara 22 hingga 30 Sept lalu di 37 lokasi seluruh negara.