
Muhammad Hafiz Ong Abdullah, 50, dan isterinya Ong Ser Ting, 37, mengaku bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit, yang turut memerintahkan mereka dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Pasangan itu didakwa bersama-sama menakutkan secara jenayah terhadap Mohd Faizul Mat Zain dan Mohd Syadid Sulaiman, di KM 2.8 Jambatan Pulau Pinang dari arah Pulau Pinang ke Perai pada 5 petang, 5 Feb lepas.
Pertuduhan dikemukakan bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syakila Dahari, manakala kedua-dua tertuduh yang merupakan peniaga mi, tidak diwakili peguam.
Sebelum ini media melaporkan Ketua Polis Seberang Perai Tengah Helmi Aris berkata penunggang dan pembonceng motosikal yang didakwa mengganggu penunggang lain di Jambatan Pulau Pinang telah diberkas.
Ia susulan satu video yang tular di media sosial yang memaparkan tindakan pasangan berkenaan yang menakutkan beberapa penunggang motosikal.
Video tular yang dimuat naik di akaun Facebook Faizul Jojoe itu, memaparkan pembonceng wanita membaling sesuatu objek dipercayai pasir, melibas seutas tali berwarna hitam dan cuba menendang penunggang motosikal yang ingin memotong motosikal mereka.