El Nino: Selangor punyai simpanan air setakat 9 bulan

El Nino: Selangor punyai simpanan air setakat 9 bulan

Empangan boleh bertahan enam bulan manakala kolam air takungan tiga bulan.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim (tengah) melihat pelan projek ketika melawat tapak projek tebatan banjir Sungai Klang di Alam Impian. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Selangor mempunyai simpanan bekalan air yang dapat menampung keperluan penduduk untuk tempoh kira-kira sembilan bulan bagi menghadapi fenomena El Nino yang sedang melanda negara.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Izham Hashim, berkata empangan di negeri itu mempunyai simpanan air untuk keperluan pengguna selama enam bulan, manakala kolam air takungan untuk tempoh tiga bulan.

“Kita kini dalam proses untuk memastikan semua bekalan itu bersambung bagi membolehkan kita dapat menggunakan air tersebut apabila diperlukan,” katanya kepada media ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pemuliharaan Sungai Klang.

Beliau berkata, usaha kerajaan Selangor itu sejajar dengan kajian yang dilakukan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) yang menjangkakan kemarau akan melanda negara pada 2026.

“Kita merancang dan buat persiapan, kemarau terakhir melanda negara adalah pada 2014 dan kitaran fenomena itu akan berulang dan kita perlu melakukan persiapan dan berharap ia tidak teruk,” katanya.

Mengenai lawatan beliau hari ini, Izham berkata projek tersebut merangkumi kerja pendalaman dan pelebaran 56km Sungai Klang serta pengukuhan tanah tebing dan pembinaan permatang yang dijangka siap pada 2028 melibatkan kos RM700 juta.

Katanya, usaha itu berdepan cabaran ekoran timbunan sampah-sarap dan mendapan yang terkumpul di dasar sungai sedalam dua hingga tiga meter, berbanding empat meter ketinggian sungai yang menyukarkan operasi pendalaman dan pelebaran sungai.

“Barangan buangan besar seperti tayar dan perabot serta plastik menjejaskan keadaan teknikal jentera pengorek dan menyebabkan gangguan terhadap operasi hariannya. Kami berharap dengan penambahan jentera Pengorek Sedut Pemotong masalah ini dapat diuruskan dengan lebih baik,” katanya.

Izham berkata, projek tersebut menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti Sungai Klang sebanyak 40% apabila siap sepenuhnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.