Armizan dakwa Bung ‘menteri paling gagal’, Umno Sabah serang balas

Armizan dakwa Bung ‘menteri paling gagal’, Umno Sabah serang balas

Pemimpin Umno Suhaimi Nasir berkata masalah projek air dibangkitkan Armizan Mohd Ali bukan disebabkan Bung Moktar Radin sahaja.

Suhaimi Nasir mendakwa Armizan Mohd Ali cuba menutup kelemahan pimpinan GRS.
PETALING JAYA:
Umno Sabah menolak dakwaan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Armizan Mohd Ali yang negeri itu ‘hilang dua tahun’ akibat kegagalan Bung Moktar Radin semasa mengetuai Kementerian Kerja Raya negeri.

Ketua Penerangan Suhaimi Nasir dalam kenyataan berkata, masalah projek air dibangkitkan Armizan bukan disebabkan Bung sebaliknya daripada isu sistemik dan kelemahan pentadbiran negeri.

Beliau turut mendakwa, birokrasi Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang rumit, proses perolehan berlapis serta kelemahan penyelarasan dengan kerajaan persekutuan sudah lama menjejaskan projek kritikal.

“Masalah itu tidak berpunca daripada seorang menteri, tetapi daripada kegagalan kepimpinan utama GRS mengurus kerajaan gabungan dengan efektif,” katanya sambil mendakwa kritikan Armizan sebagai cubaan menutup kelemahan GRS.

Semalam, Armizan, timbalan setiausaha agung GRS menepis dakwaan berulang kali Bung yang gabungan itu kerajaan gagal, sebaliknya menyatakan bekas timbalan ketua menteri itu sendiri sebenarnya ‘paling gagal’ sepanjang tempohnya di Kementerian Kerja Raya negeri.

Armizan berkata, Bung yang digugurkan daripada Kabinet Hajiji Noor susulan rampasan kuasa yang gagal pada 2023, terbukti tidak mampu menyelesaikan masalah air Sabah.

Menurutnya, sepanjang dua tahun ketua Umno Sabah itu memegang jawatan, beliau langsung tidak melancarkan sebarang projek utama bagi memastikan bekalan air konsisten di kawasan seperti Tawau.

Malah, pembinaan Loji Rawatan Air Cinta Mata 2 dan kerja menaik taraf di Loji Rawatan Air Kogopon di Papar hanya dimulakan selepas Bung tidak lagi berada dalam kerajaan negeri.

Menjawab dakwaan Armizan bahawa BN gagal menawarkan penyelesaian, Suhaimi berkata gabungan itu sudah menyenaraikan rancangan konkrit, termasuk:

*Mekanisme fast-track untuk projek air supaya reka bentuk, tender dan kelulusan siap dalam 12–18 bulan, bukan bertahun-tahun seperti bawah GRS.

*Penubuhan Project Delivery Unit (PDU) bawah Ketua Menteri bagi memantau tender, pembiayaan dan isu tanah projek strategik.

*Reformasi SESB dan grid elektrik, termasuk penyusunan semula lembaga pengarah SESB berdasarkan kepakaran teknikal serta pelaburan grid jangka panjang seperti Southern Link.

Beliau berkata, dengan kuasa kawal selia elektrik yang sudah dipindahkan kepada Sabah sejak Januari 2024, BN bersedia menstabilkan bekalan dalam tempoh lima hingga lapan tahun.

“Rakyat boleh nilai siapa ada solusi, siapa hanya berslogan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.