Pengarang Sarawak Report akan rayu ketepi sabitan jenayah

Pengarang Sarawak Report akan rayu ketepi sabitan jenayah

Peguam Clare Rewcastle-Brown berkata permohonan untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi akan dibuat esok.

Clare Rewcastle-Brown dituduh mengikut Seksyen 500 KK kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku “The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose”. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Pengarang Sarawak Report yang dijatuhi hukuman penjara kerana memfitnah Sultanah Terengganu akan merayu untuk ketepi pensabitan dan hukuman bawah Kanun Keseksaan (KK).

Peguam kepada Clare Rewcastle-Brown berkata pihaknya diarah untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi dan memohon hakim supaya menyemak dan membetulkan perintah yang menurutnya “menyalahi undang-undang dan di luar aturan”.

“Permohonan akan difailkan esok,” kata Guok Ngek Seong, yang mendakwa keputusan majistret menyalahi Seksyen 425A(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Peguam itu menjelaskan perbicaraan tanpa kehadiran hanya boleh diteruskan sekiranya tertuduh melarikan diri selepas mohon dibicarakan.

Menurut Guok lagi, polis tahu Rewcastle-Brown berada di London, United Kingdom tetapi tidak mengambil langkah-langkah untuk membawanya ke Malaysia.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Kuala Terengganu menjatuhi hukuman penjara dua tahun ke atas warga UK itu dalam pertuduhan mengikut Seksyen 500 KK.

Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri memutuskan Rewcastle-Brown, 65, memfitnah Sultanah Nur Zahirah menerusi buku “The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose”.

Perbicaraan bagaimanapun dijalankan secara tanpa kehadiran Rewcastle-Brown. Sebelum ini, mahkamah sama mengeluarkan waran tangkap kerana warga UK itu gagal menghadirkan diri untuk dituduh.

Mahkamah Rayuan pada 12 Disember tahun lepas memutuskan Rewcastle-Brown memfitnah Sultanah Nur Zahirah menerusi buku sama, dalam kes saman baginda terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan Rewcastle-Brown membayar ganti rugi RM300,000 kepada baginda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.