

“MCPF Selangor menawarkan ganjaran RM20,000 kepada mereka yang membantu polis dengan maklumat yang membawa kepada penahanan suspek sehingga mereka didakwa di mahkamah,” kata Timbalan Pengerusi MCPF A Thaiveegan dalam sidang media di IPD Shah Alam.
Bekas ketua polis Pulau Pinang itu yang bersara pada 2019 berkata, ganjaran itu akan disalurkan melalui IPK Selangor.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata polis masih belum menemui sebarang petunjuk dalam mengenal pasti suspek, walaupun pelbagai usaha dilakukan.

Beliau berkata polis telah memeriksa 1,913 unit flat dan 216 kenderaan sejak pembunuhan itu pada Disember lalu. Mereka juga menyoal 5,786 orang, menahan 17, dan mengumpul 262 sampel DNA.
“Kita juga telah mengambil 168 barang dari kawasan kejadian, memeriksa 15 rakaman televisyen litar tertutup dan menjalankan siasatan forensik di 42 unit flat, dibantu anjing K9,” katanya kepada media.
Zayn, seorang kanak-kanak autisme berusia enam tahun, dilaporkan hilang pada tengah hari 5 Dis tahun lepas. Dia ditemui mati pada keesokan harinya berhampiran sungai kira-kira 200m dari rumahnya dengan kecederaan di lehernya.
Kes itu diklasifikasikan semula daripada kematian mengejut kepada pembunuhan selepas bedah siasat mendedahkan kecederaan pada badan budak itu. Luka akibat mempertahankan diri turut ditemui.