Lagi pemimpin Umno gesa Pua mohon maaf, henti publisiti murahan

Lagi pemimpin Umno gesa Pua mohon maaf, henti publisiti murahan

Wan Rosdy Wan Ismail juga mendesak Tony Pua memadam semua catatan didakwa memperlekehkah keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib Razak.

Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan Tony Pua jelas menghina sistem perundangan negara ketika semua ahli Umno bersedih dan terkesan dengan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib.
PETALING JAYA:
Seorang lagi pemimpin Umno memberi amaran kepada Tony Pua untuk berdepan tindakan undang-undang jika bekas Ahli Parlimen DAP itu tidak memohon maaf dan memadam semua catatannya yang didakwa memperlekehkah keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib Razak.

Naib Presiden Umno, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan Pua jelas menghina sistem perundangan negara ketika semua ahli Umno bersedih dan terkesan dengan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib.

“Tindakan beliau ini juga seolah-oleh cuba meraih publisiti murahan, bila mana diri beliau dilihat sudah tidak lagi mendapat sokongan rakyat, termasuk ditolak ahli partinya sendiri dan semakin menuju ke pengakhiran karier politiknya,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Beliau berkata, mereka tetap menghormati keputusan Lembaga Pengampunan, walaupun hasrat melihat Najib mendapat pengampunan penuh tidak menjadi kenyataan.

Kelmarin, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028, selepas hukuman penjara 12 tahunnya dipendekkan kepada enam tahun dan denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Susulan itu, Pua yang juga bekas setiausaha publisiti DAP memuat naik beberapa hantaran di Facebooknya yang menyindir keputusan Lembaga Pengampunan.

Semalam, Pemuda Umno dilaporkan berkata, mereka akan membuat laporan polis di seluruh negara terhadap Pua atas kebiadabannya mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong dan tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.