‘Rumah Bangsa’ boleh satukan Melayu jika semua ikhlas, kata Johari

‘Rumah Bangsa’ boleh satukan Melayu jika semua ikhlas, kata Johari

Naib Presiden Umno Johari Ghani berkata keikhlasan itu perlu disertai dengan strategi yang betul serta kepimpinan yang kuat.

Johari Ghani and Wan Rosdy Wan Ismail 1
Johari Ghani menekankan agenda Umno ‘Rumah Bangsa’ menjadi harapan baharu rakyat manakala Wan Rosdy Wan Ismail tolak tafsiran ia amaran kepada rakan kerajaan perpaduan.
KUALA LUMPUR:
Agenda ‘Rumah Bangsa’ dalam menyatukan orang Melayu akan berjaya jika mereka yang terlibat termasuk parti-parti politik yang ikhlas memperjuangkannya, kata Naib Presiden Umno Johari Ghani.

Beliau berkata keikhlasan itu perlu disertai dengan strategi yang betul serta kepimpinan yang kuat.

“Dalam apa sahaja perancangan kita kena ada keikhlasan, bila ikhlas kemudian disusuli dengan strategi yang betul dan pemain-pemain dalam politik dalam parti juga mesti mereka yang betul ikhlas dan mempunyai ‘talent’ (bakat). Mana-mana parti perlu ada ‘talent’.

“Kalau tidak ada ‘talent’ yang hebat, akhirnya (strategi) parti ini akan sekejap sahaja,” katanya ketika ditemui media selepas ucapan dasar Presiden Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Zahid berkata ‘Rumah Bangsa’ Umno lebih sesuai menyatukan orang Melayu berbanding payung besar yang didakwa gagal sebelum ini.

Menurutnya, gerakan payung besar itu gagal kerana tidak berpaut pada rumah asalnya iaitu Umno.

Johari berkata cadangan itu juga harapan baru buat seluruh orang Melayu dan berharap perwakilan dapat membahaskannya secara rasional dan baik bagi membuka pemikiran baharu dalam Umno.

“Negara ini telah merdeka 68 tahun, jangkaan rakyat, Melayu khususnya telah banyak berubah. Dalam masa hampir lapan dekad ini sudah tentu satu perubahan besar perlu kita ambil.

“Selain itu kita perlu ambil kira pandangan generasi muda kerana kalau tidak Umno akan kekal begini sahaja,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail pula menolak tafsiran cadangan dalam ucapan Zahid itu sebagai sebagai amaran kepada rakan dalam kerajaan, sebaliknya menganggapnya sebagai pendekatan terbaik.

“Presiden cuma kata seelok-eloknya, cara yang terbaik. Ucapan itu ucapan terbuka, penyatuan bangsa. Umno ini rumah terbuka, rumah bangsa terbuka,” katanya berharap ia dapat mengukuhkan Umno serta Melayu, Islam dan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.