Dituduh bunuh adik, mahkamah arah remaja ditahan di hospital

Dituduh bunuh adik, mahkamah arah remaja ditahan di hospital

Mahkamah Tinggi berkata remaja itu yang kini berusia 15 tahun menghidap skizofrenia dan memerlukan rawatan perubatan.

Hakim Radzi Abdul Hamid berkata Akta Kanak-Kanak menetapkan golongan itu yang ditahan sementara menunggu bicara dihantar ke pusat tahanan diwartakan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Melaka memerintahkan seorang remaja yang didakwa membunuh adiknya ditahan di Hospital Permai, Johor, sementara menunggu pelupusan kes.

Remaja berusia 15 tahun itu didakwa di Mahkamah Majistret di Ayer Keroh tahun lepas kerana membunuh adik lelakinya yang berusia sembilan tahun di rumah mereka di Kampung Bukit Piatu, pada Julai.

Hakim Radzi Abdul Hamid, berkata tiada pertikaian bahawa budak lelaki itu menghidap skizofrenia dan memerlukan rawatan serta perhatian perubatan.

Beliau berkata, majistret pada mulanya mengarahkan dia dihantar ke hospital untuk pemerhatian, tetapi semasa pengurusan kes berikutnya pada 26 Dis lalu, mahkamah memerintahkannya ditahan di Penjara Sungai Udang untuk pemerhatian.

“Majistret terkhilaf apabila mengeluarkan pandangan mengenai keadaan tahanan berdasarkan pemerhatian luaran di mahkamah dan kenyataan peguam bahawa dia (remaja itu) bertindak balas positif terhadap rawatan.

“Sama ada dia layak atau tidak untuk dibawa keluar dari hospital bukan perkara yang perlu diputuskan hanya berdasarkan pemerhatian luaran, tetapi harus berdasarkan penilaian pakar,” kata Radzi ketika mengetepikan perintah reman terhadap remaja itu di penjara.

Mahkamah berkata, majistret tidak mendapat manfaat daripada laporan pakar psikiatri mengenai remaja itu, yang mengesyorkan agar dia dipantau secara berterusan di hospital untuk kesan sampingan ubatan diambil.

Radzi juga berkata, Akta Kanak-Kanak menetapkan bahawa kanak-kanak yang ditahan sementara menunggu perbicaraan perlu dihantar ke pusat tahanan diwartakan.

“Menempatkan kanak-kanak di penjara hanya akan mendedahkan kanak-kanak itu kepada jenayah, yang akan memudaratkan pertumbuhan emosi dan moralnya.

“Berdasarkan apa yang dibenarkan undang-undang, setiap peluang harus diberikan untuk kanak-kanak itu ditempatkan dalam persekitaran yang akan menggalakkan penyembuhan minda, roh, dan badan serta dilindungi daripada keadaan berbahaya yang hanya akan mengubah mereka menjadi kasar dan akhirnya menjadi penjenayah,” kata Radzi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.