Bunuh adik, ibu saudara, Mahkamah Persekutuan kekal penjara 35 tahun penganggur

Bunuh adik, ibu saudara, Mahkamah Persekutuan kekal penjara 35 tahun penganggur

Panel tiga hakim sebulat suara tolak rayuan akhir Azman Wahab, 41, untuk ketepi sabitan dan hukuman yang diputuskan pada 2024.

istana kehakiman Federal Court
Mahkamah Persekutuan turut tolak permohonan perayu masuk keterangan baharu.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 35 tahun dan 24 sebatan terhadap seorang penganggur bagi kesalahan membunuh adik lelaki dan ibu saudaranya sembilan tahun lepas.

Panel tiga hakim dipengerusikan Nordin Hassan sebulat suara menolak rayuan akhir Azman Wahab, 41, bagi mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Nov 2024.

“Mahkamah menolak permohonan perayu untuk memasukkan keterangan baharu … rayuan perayu untuk mengetepikan sabitan serta hukuman Mahkamah Rayuan ditolak, dan sabitan serta hukuman penjara 35 tahun dan 24 sebatan yang diputuskan Mahkamah Rayuan dikekalkan,” katanya yang bersidang bersama-sama Vazeer Alam Mydin Meera dan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Terdahulu, peguam Ai Cha Ran yang mewakili Azman memohon agar keterangan baharu iaitu tiga laporan berkaitan kes itu dikemukakan bagi menyokong rayuan anak guamnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Rafidah Zainuddin membantah permohonan tersebut kerana laporan itu bukan keterangan baharu memandangkan ia telah dikemukakan di mahkamah semasa perbicaraan.

Pada 25 Ogos 2022, Mahkamah Tinggi mensabitkan lelaki itu atas kesalahan menyebabkan kematian mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaaan dan menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun.

Pada 14 Nov 2024, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk mensabitkan Azman atas tuduhan asal, iaitu membunuh setelah memutuskan terdapat merit dalam rayuan pendakwaan.

Azman dituduh membunuh Muhammad Azwan, 26, di ruang tamu rumah mereka di Kampung Lanai, Parit Panjang, Baling, Kedah pada 11 pagi 2 Okt 2016.

Dia juga didakwa membunuh Rokiah Abdullah, 54, di luar rumah pada hari dan lokasi sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun maksimum 40 tahun, dan sebatan tidak melebihi 12 kali jika tidak dihukum gantung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.