Warga emas mengaku tak salah bakar bangunan kedai

Warga emas mengaku tak salah bakar bangunan kedai

Tertuduh, Yip Chee Hong didakwa dengan niat menyebabkan kerosakan kepada sembilan lot bangunan kedai.

Tertuduh, Yip Chee Hong (tengah) didakwa melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan kebakaran bangunan kedai pada 11 Sept lalu.
KUANTAN:
Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan kebakaran bangunan kedai pada 11 Sept lalu.

Tertuduh, Yip Chee Hong, 61, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, Chee Hong didakwa dengan niat menyebabkan kerosakan kepada sembilan lot bangunan kedai yang dijadikan tempat menyimpan harta benda pemiliknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Lorong 7 Industri Padang Lalang, dekat sini, kira-kira 5 pagi, 11 Sept lalu mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Haizan manakala tertuduh diwakili peguambela, Zaharman Zainal Abidin.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan memohon tertuduh menjalani pemeriksaan mental sebelum kes dibicarakan, namun peguambela memohon mahkamah tidak mengizinkan sebarang pemeriksaan mental dilakukan di mana-mana pusat pemeriksaan yang dicadangkan.

Zaharman memberi alasan, anak guamnya itu boleh berkomunikasi dan mengingati nombor kad pengenalan dengan tepat ketika diminta oleh jurubahasa mahkamah.

Katanya, ketika kejadian berlaku, tertuduh sudah berusia dan mengalami masalah kesihatan termasuk demam ketika dalam tahanan reman.

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Permai, Johor Bahru mengikut Seksyen 342 (3) Kanun Prosedur Jenayah, terlebih dahulu sebelum kes diteruskan.

Mohammed Mokhzani menetapkan 28 Okt sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kesihatan mental.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.