Mahfuz diperintah bayar Sanusi RM250,000 berkait fitnah Vellfire

Mahfuz diperintah bayar Sanusi RM250,000 berkait fitnah Vellfire

Mahfuz Omar turut diarahkan membuat permohonan maaf kepada menteri besar Kedah dalam tempoh 14 hari.

Selain diperintah membayar RM250,000 Mahfuz Omar turut diarah membuat permohonan maaf kepada Menteri Besar Kedah Sanusi Nor.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Alor Setar memerintahkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah Mahfuz Omar membayar ganti rugi RM250,000 kepada Menteri Besar Sanusi Nor kerana memfitnah berhubung pembelian kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire pada 2020.

Peguam Faiz Fadzil yang mewakili Mahfuz berkata mahkamah turut mengarahkan anak guamnya membuat permohonan maaf kepada Sanusi dalam tempoh 14 hari.

“Mahkamah membenarkan tuntutan dan memerintahkan Mahfuz membayar ganti rugi sebanyak RM250,000, injunksi kekal dan membuat permohonan maaf dalam tempoh 14 hari,” katanya di Facebook.

Bagaimanapun, beliau berkata mahkamah membenarkan permohonan pihaknya untuk penggantungan pelaksanaan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

“Mahkamah memutuskan bahawa ucapan Mahfuz berkaitan isu pembelian Vellfire adalah untuk kegunaan peribadi Sanusi dan pembelaan komen berpatutan dan ‘privilege’ bersyarat tidak boleh bertahan.

“Pihak saya telah diarahkan untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan Putrajaya. Kos tindakan dikenakan sebanyak RM30,000,” katanya.

Pada Oktober 2020, Sanusi memfailkan saman fitnah terhadap bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu berhubung dakwaan pembelian Toyota Vellfire milik Syarikat Air Darul Aman (Sada) adalah bagi kegunaannya.

Katanya, pembelian kenderaan itu dibuat Jawatankuasa Perolehan Aset Sada secara dalaman dan dilakukan mengikut had perbelanjaan ditetapkan.

Sanusi berkata, beliau hanya menggunakan dua kenderaan rasmi iaitu Volvo S90 dan Mercedes S320, yang dibeli bekas menteri besar Mukhriz Mahathir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.