Tular tawar diskaun RM100, 3 polis trafik direman

Tular tawar diskaun RM100, 3 polis trafik direman

Semua anggota dari IPK Perak itu direman sehingga 1 Feb dengan kes diambil alih Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Tangkap layar video menunjukkan tindakan individu menyaman dan menawarkan bayaran saman di lokasi kejadian kepada pasangan.
PETALING JAYA:
Tiga anggota polis trafik IPK Perak direman tiga hari bermula hari ini kerana didakwa menawarkan diskaun saman ketika ditahan di lokasi kejadian melibatkan warga United Kingdom.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri, berkata anggota berusia antara 37 hingga 42 tahun itu dipercayai terbabit dalam video tular pada Ahad lalu, di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan; Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Yusri berkata siasatan kes itu diambil alih Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya sejurus siasatan lengkap.

Beliau berkata, siasatan dalaman juga dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Katanya, penahanan anggota tersebut susulan tular video anggota trafik menahan pasangan pelancong asing itu dan menawarkan bayaran saman dengan menerima suapan RM100.

Yusri turut menyeru mangsa kes itu tampil agar siasatan dapat dilengkapkan segera.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes itu sehingga menjejaskan siasatan.

“Polis ingin menegaskan, kami memandang serius terhadap integriti dan tingkah laku warga polis serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku yang dilakukan oleh mana-mana warganya.

“Polis turut mengalukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ipoh di talian 05-2542222,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.