Sarjan mengaku tak salah terima rasuah RM3,000 dalam kes cabul

Sarjan mengaku tak salah terima rasuah RM3,000 dalam kes cabul

Nur Mastisha Maidinsha, yang bertugas di Bahagian Siasatan Seksual Wanita & Kanak-Kanak, didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 2022.

Nur Mastisha Maidinsha dituduh menerima suapan RM3,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap anak seorang lelaki dalam kes cabul.
KUALA LUMPUR:
Seorang sarjan polis wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima suapan RM3,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap anaknya dalam kes cabul dua tahun lepas.

Nur Mastisha Maidinsha, 39, didakwa sebagai penolong pegawai penyiasat di Bahagian Siasatan Seksual Wanita & Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kuala Lumpur, telah secara rasuah bersetuju menerima wang berkenaan daripada pengadu.

Nur Mastisha mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di IPK Kuala Lumpur pada 8 malam, 1 Okt 2022.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atiqah Mohamad Alias mencadangkan jaminan RM2,000 berserta syarat tambahan, iaitu tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berhampiran.

Nur Mastisha yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan dia telah digantung kerja selain mempunyai tanggungan dua anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM.

Mahkamah turut menetapkan 7 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.