Tak pernah timbul ‘kata dua’ dalam pertemuan Bersatu, tegas Wan Fayhsal

Tak pernah timbul ‘kata dua’ dalam pertemuan Bersatu, tegas Wan Fayhsal

Sebaliknya, ketua Pemuda Bersatu akan mengusulkan kepada MPT supaya tindakan undang-undang dibuat agar Ahli Parlimen yang alih sokongan lepas kerusi.

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sangkal dakwaan pimpinan partinya berdepan ‘kata dua’ berhubung pertukaran kerajaan.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Bersatu sangkal dakwaan pimpinan parti berdepan ‘kata dua’ sama ada buktikan pertukaran kerajaan akan berlaku, atau akan ada lagi wakil rakyat alih sokongan kepada Anwar Ibrahim.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata apa yang didakwa itu tidak pernah timbul dalam pertemuan antara wakil rakyat Bersatu dengan majlis pimpinan parti, sebelum ini.

“Saya duduk dengan ramai ahli Parlimen Bersatu dan Perikatan Nasional (PN). Tidak pernah timbul soal ini. Isu seperti yang diperkatakan itu langsung tidak pernah berbangkit,” kata Ahli Parlimen Machang itu kepada FMT.

Terdahulu, sumber rapat dengan seorang pemimpin Bersatu mendakwa lebih ramai Ahli Parlimen parti itu akan menyokong perdana menteri melainkan pembangkang boleh buktikan mereka mampu menukar kerajaan dalam tempoh terdekat.

Katanya, pemimpin PN perlu beri “bukti kukuh” bahawa pertukaran itu akan berlaku, kerana jika tidak lebih ramai Ahli Parlimen Bersatu akan beralih sokongan kepada kerajaan.

PN mendakwa ia boleh mengambil alih pentadbiran Putrajaya jika menang besar dalam pilihan raya enam negeri Ogos tahun lalu, serta pada PRK Kemaman Disember lepas.

Sehingga kini, enam Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar dengan alasan demi kepentingan kawasan diwakili mereka.

Dalam pada itu, Wan Fayhsal memaklumkan beliau akan mengusulkan kepada majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu supaya tindakan undang-undang dibuat agar wakil rakyat yang beralih sokongan melepaskan kerusi masing-masing.

“Saya akan usul kepada mesyuarat MPT untuk lembaga disiplin mengambil tindakan undang-undang untuk mereka mengosongkan kerusi,” katanya.

Tali barut

Sementara itu, seorang pemimpin Bersatu yang tidak dinamakan berkata keputusan beberapa Ahli Parlimen menyokong kerajaan mungkin berpunca daripada keputusan Muhyiddin Yassin mempertahankan jawatan presiden, pada November lepas.

Sebelum itu, FMT memetik Muhyiddin sebagai berkata, beliau sedar wujudnya gesaan agar berlaku perubahan dalam kepimpinan parti.

Bagaimanapun, Wan Fayhsal mempersoalkan kesahihan maklumat itu daripada pemimpin Bersatu.

“Kalau pun benar ada pemimpin Bersatu membuat dakwaan begitu, individu itu ‘tali barut’ Anwar yang mahu mengucar-ngacirkan kesetiaan, kestabilan politik dalam Bersatu,” katanya.

Beliau percaya dakwaan itu bertujuan untuk melaga-lagakan Muhyiddin dengan Setiausaha Agung Hamzah Zainudin, yang juga ketua pembangkang.

“Mereka nak lagakan presiden dan Hamzah kerana Hamzah merupakan ancaman besar kepada Anwar jadi mereka menyasarkan Hamzah, dan Hamzah perlu dilemahkan dari luar dan dari dalam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.