Kata dua MCA hilang ‘sengat’ bila sering diulang, kata pemimpin Pemuda Umno

Kata dua MCA hilang ‘sengat’ bila sering diulang, kata pemimpin Pemuda Umno

Hafiz Ariffin berkata meneruskan kerjasama dalam BN kekal sebagai pilihan paling praktikal untuk parti tersebut.

perhimpunan agung mca
Setiausaha Pemuda Umno Hafiz Ariffin berkata MCA mempunyai pilihan yang terhad diluar BN dan tidak mungkin memilih PH atau PN kerana kedua-dua gabungan itu masing-masing turut dianggotai DAP dan Gerakan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Setiausaha Pemuda Umno Hafiz Ariffin berkata, tindakan MCA yang berulang kali memberi kata dua untuk keluar Barisan Nasional (BN) menyebabkan amaran itu tidak lagi beri kesan jika tidak disertakan dengan hala tuju yang jelas.

Hafiz berkata meneruskan kerjasama dalam gabungan itu kekal sebagai pilihan paling praktikal untuk parti tersebut.

“Kami menghormati MCA dan saya merasakan kata dua yang diberi MCA mempunyai sedikit kesan dalam BN. Tetapi, apabila kata dua seperti ini diulang banyak kali tanpa haluan yang jelas, ia mungkin tidak lagi beri apa-apa kesan.

“Ia memberi gambaran seolah-olah wujud tuntutan atau rungutan disebaliknya, tetapi masih tidak diselesaikan,” katanya kepada FMT.

Hafiz juga berkata MCA mempunyai pilihan yang terhad di luar BN, sambil menambah bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak mungkin menjadi pilihan kerana DAP turut berada dalam gabungan itu.

“MCA juga sukar untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) kerana Gerakan sudah pun menduduki ruang politik dan ideologi yang hampir sama dalam blok tersebut,” katanya.

Katanya, MCA memegang beberapa kerusi di bawah panji BN di beberapa kawasan Parlimen dan DUN, yang menurutnya sukar untuk dirampas semula oleh parti itu secara bersendirian.

Perhimpunan agung MCA awal bulan ini menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP pada PRU akan datang, dan menegaskan bahawa parti itu harus menentukan hala tujunya sendiri sekiranya mana-mana komponen BN bekerjasama dengan DAP.

Semalam, Presiden Umno Zahid Hamidi berkata partinya tidak mempunyai hubungan langsung dengan DAP, dan menjelaskan bahawa BN hanya menjalin hubungan ‘gabungan dengan gabungan’ bersama PH.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata MCA berada dalam kedudukan yang lemah dan tidak mempunyai pengaruh untuk mengemukakan tuntutan.

“BN dan Umno tidak begitu peduli sama ada MCA kekal atau menyertai gabungan lain. Anda tidak membuat tuntutan apabila anda berada dalam keadaan sangat lemah, lebih-lebih lagi apabila anda perlu bergantung kepada parti yang lebih besar.

“Dalam kes ini, BN boleh sahaja mengabaikan kata dua itu dan bergerak ke arah pilihan raya umum,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.