SPRM siasat Mokhzani

SPRM siasat Mokhzani

Mokhzani Mahathir difahamkan dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM berkait notis pengisytiharan harta.

Ketua Pesurujaya SPRM Azam Baki sahkan Mokhzani Mahathir dipanggil SPRM hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah memanggil Mokhzani, seorang lagi anak bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, dipercayai berkaitan notis pengisytiharan harta.

Disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, perkembangan itu menyusul seminggu selepas abangnya Mirzan dipanggil agensi sama untuk siasatan berkait maklumat dalam laporan Kertas Panama dan diarah mengisytiharkan aset miliknya.

BH melaporkan Mokhzani yang juga ahli perniagaan hadir ke ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 11 pagi tadi, dipercayai berkaitan notis pengisytiharan harta.

Menurutnya, ia membabitkan siasatan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Azam yang mengesahkan perkara itu berkata, beberapa pihak akan menerima notis berkenaan untuk siasatan lanjut SPRM.

“Ya akan ada mereka yang menerima notis itu,” katanya.

Pada 18 Jan lalu, SPRM mengesahkan Mirzan telah diberikan notis bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

Susulan itu beliau dikehendaki mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih dalam pegangannya sama ada di dalam atau luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh terbabit.

Perintah itu adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menurut SPRM, siasatan bermula sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora juga Kertas Panama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.