Polis buru 2 pencuri kabel terjun sungai

Polis buru 2 pencuri kabel terjun sungai

Polis meminta kerjasama penduduk kampung menghubungi mereka jika ternampak dua suspek terbabit.

Polis melakukan pencarian di sepanjang tebing sungai, termasuk kawasan semak kerana dua suspek itu dilihat mengapungkan diri dan hanyut menghampiri arah tebing sungai. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa hari ini meneruskan operasi mencari dua lelaki terjun ke sungai di Jambatan Kuala Dungun, dekat Kampung Pulau Serai, Terengganu untuk melarikan diri daripada polis.

Ketua Polis Dungun, Maizura Abdul Kadir berkata, pencarian dua suspek 30 tahun itu dilakukan di sepanjang tebing sungai, termasuk kawasan semak kerana mereka dilihat mengapungkan diri dan hanyut menghampiri arah tebing sungai.

“Operasi pencarian dilakukan polis dengan mendapat bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun.

“Keadaan tepi sungai yang mempunyai banyak laluan membolehkan kedua-dua suspek melarikan ke kampung berhampiran,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, arus deras dan paras air tinggi menyukarkan usaha pencarian dan polis turut mencari di beberapa kampung berdekatan yang dilihat berpotensi untuk suspek melarikan diri.

Justeru, beliau meminta kerjasama penduduk kampung menghubungi polis jika ternampak dua suspek dan menasihati orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

Dalam kejadian semalam, tiga suspek yang menaiki sebuah lori melarikan diri ketika dikejar anggota polis kira-kira 100km, sebelum kenderaan mereka dipintas polis di Jambatan Dungun kira-kira 6.55 pagi.

Seorang daripada suspek 35 tahun ditahan, manakala dua lagi suspek terjun ke sungai.

Hasil pemeriksaan menemui kabel Telekom Malaysia kira-kira 44m dalam lori itu yang dipercayai dicuri suspek.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.