
Semalam, media melaporkan remaja terbabit dimasukkan ke hospital selepas ditendang dan dipukul pelbagai objek oleh bapanya yang dipercayai mabuk sehingga menerima 12 jahitan di kepala.
Berita Harian melaporkan kejadian kelmarin itu dikatakan berlaku selepas remaja 17 tahun itu mendedahkan tindakan suspek kepada teman wanita bapanya yang tinggal serumah.
Ketua Polis Rembau Hazri Mohamad mengesahkan perkara itu hasil temubual dan pemeriksaan doktor yang mengesahkan mangsa pernah dirogol.
Katanya mangsa dirujuk ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah dan memberitahu doktor dia pernah dirogol bapanya.
“Pemeriksaan dilakukan pegawai perubatan Bahagian Obstetrik dan Ginekologi Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan yang menemui kesan koyakan lama pada bahagian hymen pesakit,” katanya menurut akhbar itu.
Hazri berkata, kejadian pada November lalu itu berlaku ketika mangsa dan suspek berada di rumah di Kota kira-kira 2 petang.
“Suspek masuk ke bilik mangsa dan merogolnya, malah mengugutnya tidak memaklumkan kepada sesiapa,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan.