
Pengerusi lembaga RSN Rayer hadir di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Anand Ponnudurai untuk mengemukakan cek bagi penyelesaian penuh dan akhir hari ini.
Ramachandran, yang tidak hadir di mahkamah, diwakili peguamnya P Subramanian.
Bercakap kepada FMT selepas sesi di mahkamah, Rayer menzahirkan kekesalan berhubung perkara itu, berkata wang itu boleh digunakan untuk membiayai biasiswa pendidikan bagi pelajar Hindu.
“Sepanjang setahun lepas, kami (PHEB) telah membelanjakan hampir RM350,000 untuk kira-kira 350 pelajar,” katanya.
“Jadi RM100,000 ialah jumlah wang yang besar. Bayangkan jika kita boleh beri RM1,000 kepada setiap pelajar Hindu, kita akan dapat bantu begitu ramai (pelajar),” katanya sambil menambah, wang itu datang daripada sumbangan orang ramai, bukan dana lembaga itu sendiri.
Rayer berkata, beliau berharap Ramachandran akan dapat menggunakan wang itu untuk tujuan kebajikan.
Apabila ditanya mengapa PHEB tidak memfailkan rayuan, Rayer berkata, ia “atas rasa simpati” berhubung keadaan yang membawa kepada pemecatan Ramachandran.
“Ketika saya menjadi pesuruhjaya PHEB, Ramachandran tahu saya telah membangkitkan keraguan dan bantahan semasa mesyuarat lembaga kerana tidak mahu beliau dipecat secara salah.
“(Selain itu), kami tidak mahu cabar perkara itu di mahkamah kerana (kepimpinan) PHEB (semasa) merasakan bahawa perkara itu harus diselesaikan secara baik,” katanya.
Ramachandran, yang didapati Mahkamah Tinggi telah dipecat secara tidak adil, memperoleh perintah mahkamah agar lembaga itu membayar RM106,755 kepadanya sebagai ganti rugi dan kos. Ini susulan PHEB tidak mengendahkan perintah mahkamah pada 8 Ogos tahun lepas untuk membayar jumlah penghakiman.
Penolong kanan pendaftar Mahkamah Tinggi M Yegeshweriy, dalam perintah ex-parte, meminta PHEB menjelaskan mengapa ia masih belum membayar dan menunjukkan akaun penuhnya, termasuk senarai penghutang dan aset, untuk melihat sama ada lembaga itu mampu membayar ganti rugi yang diperintahkan.