Sumber air alternatif untuk Labuan sudah dibincang, kata Fadillah

Sumber air alternatif untuk Labuan sudah dibincang, kata Fadillah

Sumber alternatif dapat mengurangkan kebergantungan Labuan kepada Sabah, kata timbalan perdana menteri itu.

Labuan mesti ada sumber air baharu untuk memastikan bekalan air yang lebih stabil dan terjamin, kata Fadillah Yusof. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan untuk mengenal pasti sumber air alternatif bagi Labuan bagi mengurangkan kebergantungannya kepada Sabah.

Sumber air alternatif ini amat penting sebagai penyelesaian jangka panjang kepada cabaran bekalan air di pulau bebas cukai itu, katanya.

“Memandangkan gangguan bekalan air berlaku sekali-sekala dari tanah besar Sabah, Labuan mesti ada sumber air baharu.

“Saya telah mengadakan perbincangan mengenai hala tuju pembangunan projek bekalan air di Labuan untuk mengenal pasti sumber baharu yang boleh mengurangkan kebergantungan pada Sabah.

“Langkah strategik ini akan memastikan bekalan air yang lebih stabil dan terjamin untuk seluruh pulau,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek penggantian paip di tangki agihan air utama di Pulau Enoe, Labuan hari ini, lapor Bernama.

Labuan menerima bekalan air daripada Loji Rawatan Air Lawa Gadong di Beaufort, Sabah melalui saluran paip bawah laut sepanjang 25.7km ke tangki agihan utama air di Pulau Enoe.

Fadillah yang juga menteri peralihan tenaga dan daya guna awam berkata, kerja-kerja penggantian paip air yang sedang dijalankan bertujuan menyelesaikan kebocoran, namun berdepan cabaran termasuk keperluan tenaga kerja tambahan dan kontraktor yang boleh dipercayai.

“Penyelesaian kepada isu air di Labuan akan mengambil masa, dan kita komited untuk menangani aspek teknikal terlebih dahulu … kita akan menggantikan paip pecah secara sistematik dan berusaha ke arah penyelesaian jangka sederhana dan panjang,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan telah diluluskan untuk penggantian paip agihan utama sepanjang 1.5km di Pulau Enoe yang dijangka siap pada 2025.

Dalam Belanjawan 2024, RM300 juta telah diperuntukkan untuk memudah cara kerja pembaikan dan penggantian paip air di Pulau Enoe dan Bukit Kalam menjelang suku kedua tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.