22 nelayan asing ditahan bersama 60 liter air ketum dalam bot

22 nelayan asing ditahan bersama 60 liter air ketum dalam bot

Bot itu dikendalikan tekong warga Thailand bersama empat kru Thailand dan 17 kru Kemboja yang semuanya mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

Bot pukat jerut kelas C yang ditahan di kedudukan 0.98 batu nautika tenggara Pulau Jarak di Lumut. (Gambar Maritim Malaysia)
PETALING JAYA:
Seramai 22 nelayan asing ditahan bersama 60 liter air ketum dalam sebuah bot pukat jerut kelas C di kedudukan 0.98 batu nautika tenggara Pulau Jarak di Lumut.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Perak, Mohd Hambali Ya’akup berkata, bot itu dikesan melakukan aktiviti perikanan oleh Kapal Maritim (KM) Tugau ketika rondaan rutin menerusi Op Sayong, Op Tanjung dan Op Tiris pada 10.40 pagi Jumaat lalu.

Katanya, bot itu dikendalikan tekong warga Thailand bersama empat kru Thailand dan 17 kru Kemboja berusia 24 hingga 57 tahun yang semuanya mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

Tetapi, beliau berkata, tekong gagal mengemukakan dokumen kelulusan penggunaan peralatan komunikasi dan beroperasi kurang 15 batu nautika dari daratan.

Antara nelayan asing yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Perak. (Gambar Maritim Malaysia)

“Pemeriksaan lanjut menemui kira-kira 60 liter cecair disyaki air ketum serta kira-kira 200kg ikan di bot berkenaan.

“Semua nelayan itu ditahan, manakala bot, hasil tangkapan, peralatan menangkap ikan serta cecair disyaki air ketum dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya menurut Harian Metro.

Kes disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana tiada kelulusan penggunaan radar dan peranti, Akta Perikanan 1985 kerana beroperasi kurang dari 15 batu nautika serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 atas penyalahgunaan ketum, termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.