Polis mengaku tak salah terima rasuah kes dadah

Polis mengaku tak salah terima rasuah kes dadah

Mohd Hazwan Ahad, 36, didakwa memperoleh suapan RM2,000 sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan dalam kes dadah pada 2021.

Tertuduh yang bertugas di IPD Melaka Tengah didakwa menerima suapan daripada ibu seorang suspek dalam kes bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
MELAKA:
Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas dua tuduhan menerima suapan tiga tahun lepas.

Mengikut tuduhan pertama, Mohd Hazwan Ahad, 36, didakwa memperoleh suapan berupa wang tunai RM2,000, daripada Hasnah Ahmad Shah pada 9 Mac 2021 di sebuah rumah di Taman Rambai Idaman, Melaka Tengah.

Tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Melaka Tengah itu didakwa menerima suapan sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap anak Hasnah, Julhashfizan Abdullah, bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Mohd Hazwan juga berdepan tuduhan pilihan, iaitu menerima wang tunai RM2,000 tanpa sebarang balasan daripada Hasnah, dengan tertuduh mengetahui Hasnah mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Bagi kesalahan di lokasi dan tarikh sama itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Melaka sebulan sekali dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Mohd Hazrin Alif Wahab memohon agar jaminan minimum dikenakan terhadap tertuduh.

Hakim Elesabet Paya Wan menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan.

Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 21 Feb depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.