
Ketua Polis Manjung Mohamed Nordin Abdullah dalam kenyataan malam tadi, berkata lelaki itu juga akan menjadi saksi sekiranya diperlukan.
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Yang Arif Pengarah Pendakwaan Negeri Perak dan arahannya tangkapan (B1) (suspek) dibebaskan dengan jaminan polis serta menjadi saksi sekiranya diperlukan dalam siasatan (kes khianat api),” katanya.
Nordin berkata, lelaki itu akan dibebaskan hari ini.
Dalam pada itu pihak polis memohon orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes kebakaran tersebut menghubungi pegawai penyiasat Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 bagi membantu siasatan pihak polis.
Terdahulu, lelaki berusia 30an yang ditahan di Shah Alam pada 12 Jan, direman sehingga semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api kerana disyaki melontar kediaman Ngeh dengan molotov cocktail.
Pagi tadi, Mahkamah Majistret Seri Manjung membenarkan tempoh reman suspek disambung sehari lagi sehingga hari ini.
Dalam kejadian awal pagi Rabu lalu, rumah Ngeh dipercayai dilontar dengan “molotov cocktail” menyebabkan kebakaran yang memusnahkan sebuah kereta miliknya manakala dua kenderaan lagi mengalami kerosakan.