
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata Namewee dibebaskan dengan jamin polis mulai hari ini hingga 26 Nov.
“Kertas siasatan akan dirujuk semula ke pejabat pengarah pendakwaan negeri Kuala Lumpur setelah laporan bedah siasat diperolehi,” menurut kenyataan.
Namewee direman dari 5 hingga 13 Nov selepas menyerah diri di IPD Dang Wangi, berhubung siasatan kes kematian Hsieh Yun Hsin.
Media sebelum ini melaporkan, Namewee merupakan individu terakhir bersama Hsieh, yang ditemui maut dalam tab mandi di sebuah hotel di ibu negara pada 22 Oktober lalu.
Kes itu pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun kemudian disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas polis mengesyaki terdapat unsur jenayah.
Semalam, Peguam Negara Dusuki Mokhtar memaklumkan Namewee akan dibebaskan dengan jaminan polis, selepas pihaknya mendapati tiada bukti menunjukkan suspek terbabit dalam kes pembunuhan itu.