Suami isteri antara 5 mengaku tak salah tipu pinjaman tak wujud

Suami isteri antara 5 mengaku tak salah tipu pinjaman tak wujud

Semua tertuduh didakwa secara bersama menipu dengan memperdayakan seorang lelaki memasukkan RM3,897 ke satu akaun bank untuk mendapatkan pinjaman wang dalam talian.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,500. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Sepasang suami isteri antara lima individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Port Dickson atas pertuduhan penipuan menawarkan pinjaman wang tidak wujud dalam talian.

Sinar Harian melaporkan Lee Jia Re, 23; Jason Lee Lian Sheng, 25; Jass Lee Ying Xing, 19; serta pasangan suami isteri Kamarul Nazrin Kamarulzaman, 29, dan Amiratul Najihah Abdul Malik, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Uthman Abd Ghani.

Berdasarkan pertuduhan, semua tertuduh didakwa secara bersama menipu dengan memperdayakan seorang lelaki memasukkan RM3,897 ke satu akaun bank untuk mendapatkan pinjaman wang dalam talian di sebuah resort di Port Dickson pada 11 Nov lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, dengan sebatan dan hendaklah didenda.

Difahamkan, semua tertuduh ditahan 20 Dis lalu melalui Op Seagull di sebuah premis di Bandar Sri Sendayan, Seremban.

Hasil pemeriksaan dan penelitian barang kes mendapati sindiket itu terbabit penipuan pinjaman wang tidak wujud menyasarkan rakyat Malaysia.

Sindiket itu merupakan lapisan kedua yang akan berhubung dengan mangsa melalui aplikasi whatsApp dengan memperdaya mangsa membayar deposit sebagai kos insurans, aktif akaun, pemprosesan, “test payment” dan kos “laggard” ke akaun keldai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.