
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas Ab Hanif Ab Hamid, 43, menukar pengakuan kepada bersalah terhadap tiga pertuduhan pilihan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Hanif yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah Jasin, didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan perkhidmatan pembekalan daripada kerajaan untuk syarikat adiknya, Perniagaan Thronez Enterprise yang bernilai keseluruhan RM19,663.50.
Perolehan itu bagi Unit Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (Bakas) iaitu pembelian racun (RM5,000), peralatan tandas (RM10,163.50) serta mesin rumput (RM4,500)
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bakas, Pejabat PKD Jasin antara 4 Julai dan 2 Nov 2018 mengikut Seksyen 161 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Irwan Shah Abdul Samat memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal kerana ia melibatkan projek kerajaan dan tertuduh adalah penjawat awam.
Peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili Hanif merayu hukuman denda minimum tanpa penjara kerana anak guamnya menghidap penyakit saraf kronik serta bakal kehilangan pekerjaan dan pencen.
Mahkamah menjatuhi hukuman denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan membenarkan permohonan pendakwaan untuk mempertimbang enam lagi pertuduhan mengikut Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.