
Tengku Sarafudin bertitah, sejak Task ditubuhkan pada Oktober 2022, pelbagai program sumbangan dan bantuan dijalankan menjurus ke arah pembangunan insaniah dan kebajikan rakyat.
“Sebab itu kalau kita tengok ada orang serba kekurangan, kita cuba membantu dengan terbaiklah supaya kehidupan mereka lebih selesa. Yang ni (Task) tak ada garis masa siapa yang memerlukan tu kita terus tolong mereka.
“Pada saya ini bukan untuk Task saja, tapi agensi-agensi lain pun akan bantu juga jadi kerajaan negeri pun akan tahu mana yang memerlukan bantuan, kalau ada yang terima bantuan zakat, bantuan bawah agensi lain pun dapat dibantu,” titah baginda.
Tengku Sarafuddin bertitah demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Baik Pulih Rumah Task di pekarangan Pejabat Penghulu Mukim Tekai Kiri.
Padang Terap menjadi antara daerah pertama pelaksanaan program bawah Task yang dinaungi Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Setakat ini, sebanyak tujuh rumah asnaf terpilih dari Mukim Tualak dan Mukim Tekai Kanan dibaik pulih dengan peruntukan sebanyak RM90,000.
Task juga menyediakan bakul makanan dan wang tunai kepada penerima terpilih dalam usaha meringankan beban perbelanjaan harian mereka.
Sementara itu, seorang penerima bantuan baik pulih rumah dari Kampung Baru, Naka, Mohd Haikal Osman, 23, bersyukur rumah didudukinya dibaik pulih dan dapat menjalani kehidupan lebih selesa berbanding sebelum ini.
“Depa (mereka) baiki bilik baru dengan tandas baru, dulu tandas rosak…Alhamdulillah terima kasih Tuanku Raja Muda sebab bantu keluarga kami,” katanya.