Kekang pecah rumah, polis P Pinang tubuh pasukan khas

Kekang pecah rumah, polis P Pinang tubuh pasukan khas

Terdapat peningkatan kes pecah rumah di daerah Timur Laut, Seberang Perai Utara, dan Seberang Perai Selatan pada tahun lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin menasihatkan orang ramai maklum balai polis berdekatan jika pulang ke kampung halaman supaya rondaan boleh dibuat. (Gambar Bernama)
NIBONG TEBAL:
Polis Pulau Pinang menubuhkan pasukan petugas khas bagi membanteras kegiatan pecah rumah, kata ketua polis negeri, Khaw Kok Chin.

Beliau berkata terdapat peningkatan kes pecah rumah di daerah Timur Laut, Seberang Perai Utara (SPU), dan Seberang Perai Selatan (SPS) pada tahun lalu, berdasarkan statistik.

“Kita buat beberapa perancangan bagi mengurangkan kes pecah rumah antaranya menubuhkan ‘task force’ dengan fokus kepada modus operandi dan masa berlaku jenayah itu serta kawasan hotspot pecah rumah bagi menurunkan kadar jenayah,” katanya kepada pemberita.

Kes lain seperti kekerasan jenayah, samun berkawan, mencederakan, dan curi kenderaan menurun pada tahun lepas, menurutnya.

Keseluruhan sebanyak 3,606 kes jenayah dilaporkan pada tahun lalu dan 2,372 kes atau 65.8% berjaya diselesaikan.

Sementara itu, Khaw menasihatkan orang ramai terutama ketika musim perayaan agar memaklumkan kepada pihak polis jika meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung halaman bagi mengelak kejadian pecah rumah.

Sekiranya mereka memaklumkan kepada pihak polis, Unit Kereta Peronda (MPV) polis dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan menjalankan rondaan di kawasan rumah mereka.

“Tak lama lagi Tahun Baharu Cina dan saya nak nasihatkan kepada orang ramai agar mereka maklumkan kepada balai polis berdekatan jika pulang ke rumah supaya kita boleh buat rondaan.

“Saya minta jiran-jiran yang nampak sesuatu yang mencurigakan di kawasan perumahan mereka agar terus menghubungi pihak polis supaya tindakan segera dapat diambil bagi membanteras pecah rumah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.