Laluan FT12 di Jalan Kuantan-Segamat belum dibuka, kata JKR Pahang

Laluan FT12 di Jalan Kuantan-Segamat belum dibuka, kata JKR Pahang

Laluan itu masih ditutup kerana kerja pemasangan jambatan bailey masih giat dilaksanakan.

Kerja pemasangan jambatan bailey di Laluan Persekutuan FT12 di KM73 Jalan Kuantan-Segamat giat dijalankan. (Gambar Facebook JKR)
KUANTAN:
Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang hari ini menafikan maklumat tular di aplikasi WhatsApp mendakwa Laluan Persekutuan FT12 di KM73 Jalan Kuantan-Segamat telah dibuka dan boleh dilalui mengikut jadual kerja dikeluarkan jabatan itu.

JKR Pahang dalam hantaran di Facebook memaklumkan laluan itu masih ditutup seperti notis pemberitahuan penutupan jalan dikeluarkan JKR Pekan sebelum ini dan kerja pemasangan jambatan bailey di lokasi berlakunya runtuhan jalan giat dilaksanakan.

“Laluan tanah di sebelah jambatan bailey hanya dibina sementara di atas pembetung yang runtuh untuk melancarkan kerja di tapak dan dikhuatiri tidak selamat dilalui pengguna jalan raya.

“Sehubungan itu, JKR tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang insiden terjadi terhadap pengguna jalan raya tersebut,” menurut hantaran itu.

JKR akan membuat laporan kepada pihak berwajib untuk menyiasat penyebaran berita palsu itu dan menasihatkan orang awam tidak mempercayai serta tidak menyebarkannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.