
Penjanaan empangan itu akan dilaksanakan oleh syarikat swasta dengan laluan talian grid kabel elektrik disediakan Sarawak Energy Berhad (SEB), kata premier Sarawak itu, lapor Bernama.
“Saya sudah ada surat (persetujuan) daripada masyarakat di ketiga-tiga sungai ini, iaitu Sungai Gaat di Kapit, Sungai Tutoh di Baram dan Sungai Belaga di Belaga … kita sudah pinda undang-undang kita, penjanaannya boleh dilaksanakan oleh syarikat swasta tapi diedarkan kepada SEB,” katanya selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu di Kuching.
Pembinaan empangan melata adalah antara pendekatan Sarawak dalam menangani masalah populasi buaya yang kian meningkat, selain menjana elektrik bagi penduduk setempat dan menjaga biodiversiti sungai.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan bagi memperincikan kaedah sesuai untuk rakyat Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar, mendaftar dengan sistem Pangkalan Data Utama (Padu).
Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan diterajui Timbalan Menteri Ekonomi Hanifah Hajar Taib serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
“Kita akan mempunyai suatu seminar yang kita akan perkenalkan proses Padu dan kita terpaksa tingkatkan kesalinghubungan bagi membolehkan data dihantar ke sistem itu,” katanya.