
Sehingga kini, katanya, 204 agensi melaksanakan perkongsian dan integrasi data secara berterusan dengan PADU.
“Antaranya Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Imigresen,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berhubung kajian keberkesanan sistem PADU dalam pelaksanaan subsidi bersasar.
Kenyataan itu sekali gus menepis dakwaan PADU tidak lagi aktif selepas bekas menteri ekonomi yang membangunkan sistem terbabit, Rafizi Ramli, meletak jawatan Mei lalu.
Hanifah berkata, data PADU yang terangkum dan terkini menjadi rujukan agensi kerajaan, termasuk menyemak dan mengesahkan maklumat kumpulan sasar bagi menyediakan bantuan kepada penerima berkelayakan.
Sementara itu, Hanifah berkata, 17 permohonan diluluskan untuk penggunaan data PADU bagi penentuan pelbagai dasar dan program sehingga 31 Okt lalu, contohnya inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95).
“Agensi lain yang diluluskan bagi penggunaan data adalah Kementerian Kerja Raya, Jabatan Digital Negara, Jabatan Pendidikan Tinggi dan Jabatan Pembangunan Kemahiran.”
Menurutnya, kerajaan akan terus meningkatkan penggunaan data PADU dalam agensi kerajaan selaras Akta Perkongsian Data 2025 dan Garis Panduan Pelaksanaan Perkongsian Data Sektor Awam.
Katanya, Kementerian Ekonomi juga sentiasa memperkemas dan menambah baik proses serta prosedur perkongsian data PADU, termasuk meningkatkan aspek keselamatan dan kualiti data.