Tipu duti kereta mewah RM33 juta, 6 akan didakwa

Tipu duti kereta mewah RM33 juta, 6 akan didakwa

Pertuduhan itu susulan laporan kekurangan kutipan duti kastam di Langkawi seperti dibangkit dalam Laporan Ketua Audit Negara 2022.

SPRM juga sedang menyiasat pemilik Lamborghini, Ferrari, Porsche, Bentley, McLaren, dan Rolls Royce disyaki terlibat dalam sindiket tipu duti. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Enam anggota sindiket mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah di Langkawi akan didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, pada 15 dan 16 Jan, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM dalam kenyataan, berkata semua suspek itu ditahan pada Julai tahun lalu susulan laporan kekurangan kutipan duti kastam sepanjang 2012 hingga 2021 di Pulau Langkawi seperti dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2022 (LKAN 2022).

Katanya, kegiatan itu mengakibatkan kerajaan mengalami ketirisan kutipan cukai sehingga lebih RM33 juta, antara lain membabitkan Lamborghini, Ferrari, Porsche, Bentley, McLaren, dan Rolls Royce.

“SPRM telah menjalankan satu operasi khas yang dipanggil ‘Op Eagle’ dan mengesan terdapat sindiket yang bersubahat dengan pemilik kereta mewah yang mahukan pengecualian dan pengurangan duti kastam walaupun sebenarnya mereka tidak layak.

“Keenam-enam suspek akan menghadapi lebih 21 pertuduhan di bawah Seksyen 468 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan,” menurut kenyataan itu.

SPRM turut mengesan unsur ketirisan dan salah laku rasuah di Pusat Bebas Cukai (PBC), seterusnya menjejak semula 100 kereta mewah disyaki mengelak dikenakan duti kastam.

Pada operasi khas fasa pertama yang dijalankan di utara negara, Johor dan Sabah sekitar Julai tahun lalu, SPRM berkata agensi itu telah berjaya menyita sembilan kereta mewah pelbagai jenama dianggarkan lebih RM12 juta.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Azmi Kamaruzaman, berkata pihaknya sedang menyiasat pemilik kenderaan di bawah kesalahan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 kerana memilik serta melupuskan hasil kegiatan jenayah serius itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.