‘Malulah dengan diri’, bekas Ahli Parlimen selar Dr M atas kata-kata ‘penuh kebencian’

‘Malulah dengan diri’, bekas Ahli Parlimen selar Dr M atas kata-kata ‘penuh kebencian’

Charles Santiago dan Kasthuri Patto mengecam bekas PM itu kerana mendakwa orang India ‘tidak sepenuhnya setia kepada Malaysia’.

Charles Santiago menuduh Dr Mahathir Mohamad ‘terdesak’ untuk kekal relevan, manakala Kasthuri Patto menyifatkan bekas PM itu sebagai penghalang yang tidak patut ada.
PETALING JAYA:
Dua bekas Ahli Parlimen menyelar Dr Mahathir Mohamad atas kata-katanya yang disifatkan “penuh kebencian” selepas bekas perdana menteri itu menyatakan bahawa masyarakat India tidak “sepenuhnya setia kepada Malaysia” kerana masih mahu mengaitkan diri dengan negara asal mereka.

Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, masyarakat India dan Cina telah menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi dan politik Malaysia, dan Mahathir sepatutnya “malu dengan dirinya” kerana mengeluarkan kata-kata “berbisa” seperti itu.

“Tindakan mesti diambil terhadap beliau kerana (mengeluarkan) kenyataan memecahbelahkan seperti itu, yang berpotensi membawa mudarat dalam masyarakat berbilang bangsa ini,” kata Santiago di platform media sosial X.

Beliau berkata, dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian, Mahathir telah memusnahkan “sebarang usaha baik” yang pernah dilakukannya untuk Malaysia sebelum ini.

“Beliau tahu ini (perbuatan) menghasut. Beliau turut menggalakkan ketaksuban (kaum) dan kebencian. Tetapi beliau tidak kisah tentang akibat tindakannya.

“Adakah beliau begitu terdesak untuk kekal relevan? Terutamanya pada masa-masa tuanya? Beliau mesti tahu kita sudah menyampah (dengar) beliau bergembar-gembur dengan penuh kebencian. Malaysia bukan hanya milik segelintir orang, tetapi semua rakyat.”

Bekas Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto turut mengecam Mahathir dengan berkata, bekas perdana menteri itu sepatutnya menjadi “orang terakhir yang bercakap tentang maksud kesetiaan, dan terutamanya mengenai asal usul dan warisan”.

“Saya rakyat Malaysia yang bangga dan setia, dan tidak seperti kamu, saya bekerja keras untuk melihat Malaysia cemerlang. Kamu penghalang yang sepatutnya ada (untuk rakyat Malaysia),” katanya juga di X.

Baru-baru ini, dalam temubual dengan saluran berita Tamil, Thanthi TV dari Chennai, India, Mahathir berkata, orang India di Malaysia mesti ingat mereka ialah rakyat Malaysia lebih daripada pendatang.

Ditanya sama ada ini bermakna orang India di Malaysia harus berasimilasi sepenuhnya dan “menjadi Melayu”, Mahathir bersetuju.

“Mereka mahu kata negara ini milik mereka. Mereka patut jadi (Melayu),” katanya.

“Dahulu kita ada ramai orang berasal dari India, Pakistan, Arab dan Afrika yang menjadi ‘Melayu’, dari segi mereka bercakap bahasa Melayu dan budaya mereka Melayu.

“Di mana-mana negara, jika kita ingin kata kita orang negara itu, kita mesti kaitkan diri dengan orang asal di negara itu. Menurut Perlembagaan (Persekutuan), Malaysia ialah tanah Melayu.”

Mahathir bersetuju apabila penemubualnya menekankan bahawa hak semua minoriti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, namun beliau berkata, walaupun orang India “mempunyai hak tertentu, mereka tidak boleh mendakwa negara ini negara (mereka)”.

“Seseorang mungkin boleh hujahkan bahawa (Malaysia) bukan milik orang Melayu. Orang Asli mungkin lebih berhak mendakwa mereka orang asal,” kata penemubual itu.

“Itu mungkin pandangan awak. Itu bukan pandangan kami,” balas Mahathir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.