Elaun bulanan atlet Program Podium ditukar kepada gaji

Elaun bulanan atlet Program Podium ditukar kepada gaji

307 atlet dan 86 atlet para di bawah Program Podium sekali gus menerima caruman KWSP dan Perkeso.

Menteri Hannah Yeoh berkata atlet minta jaminan daripada kerajaan, dan hasrat mereka ditunaikan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan bayaran elaun bulanan atlet yang berada di bawah Program Podium ditukar kepada gaji dan akan dinaikkan dengan minimum asas sebanyak RM1,500 sebulan.

Menteri Hannah Yeoh berkata 307 atlet dan 86 atlet para yang berada di bawah program berkenaan sekali gus menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Beliau berkata mereka bakal menandatangani kontrak selama dua tahun bermula bulan ini.

“Carumannya sebanyak 11% bagi pihak atlet dan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) 13%… atlet kita minta ada jaminan untuk mereka, jadi kita telah sampaikan serta tunaikan hasrat itu dan saya mahu atlet tunaikan hasrat rakyat Malaysia dapatkan pingat emas Olimpik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan 2024 di MSN.

Hannah berkata langkah itu bakal memberi impak kewangan berjumlah RM16 juta setahun kepada MSN.

Dalam pada itu, beliau berkata KBS juga meminta MSN mengkaji semula elaun jurulatih menerusi Skim Jurulatih Kebangsaan.

“Kita sudah ada beberapa bengkel dan MSN akan koordinasi, kita kena bentang kepada jawatankuasa MSN sebelum melaksanakan apa-apa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata KBS bakal mengadakan temasya sukan yang terbuka kepada atlet veteran dan orang ramai pada tahun ini untuk memberi peluang kepada semua meneruskan minat tanpa mengira usia.

“Kalau kita mahu Malaysia menjadi negara bersukan, kita kena adakan acara seperti ini untuk teruskan minat mereka dalam sukan kerana kalau tidak hanya golongan muda sahaja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.