Rumah dibaling molotov cocktail, polis siasat jika berkait komen Ngeh

Rumah dibaling molotov cocktail, polis siasat jika berkait komen Ngeh

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata ia dapat ditentukan sekiranya suspek berjaya ditangkap.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain minta kepada masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu kerana siasatan masih diteruskan.
PETALING JAYA:
Polis sedang mengenal pasti sama ada insiden melontar bom molotov cocktail di kediaman Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham di Ayer Tawar, Perak hari ini mempunyai kaitan dengan komen dikeluarkan beliau baru-baru ini.

“Sekiranya ada tangkapan, barulah kami nampak (sama ada) ia menjurus kepada komen beliau atau sebaliknya,” kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain kepada Bernama.

“Saya minta kepada masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden ini kerana siasatan masih diteruskan.”

Razarudin berkata polis menyiasat pelbagai aspek termasuk mengumpul risikan daripada semua sudut Cawangan Khas dan maklumat awam.

Katanya, risikan juga mendapati Ngeh tiada sebarang isu dengan komuniti di Ayer Tawar.

Terdahulu, Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata polis memburu suspek terbabit dalam kejadian kebakaran kediaman Ngeh yang disahkan polis menggunakan molotov cocktail.

Ngeh baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam.

Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah meminta orang politik khususnya bukan beragama Islam tidak mencampuri urusan hal ehwal Islam susulan cadangan Ngeh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.