
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, akta itu bertujuan menghapuskan budi bicara perdana menteri dalam menetapkan tarikh pilihan raya, memastikan tarikh PRU boleh dijangka dan menghalang pilihan raya mengejut.
Tetapi, katanya, ia bukan bertujuan menghalang Ahli Parlimen berpaling tadah.
“Jadi, ia tidak akan menghalang pengulangan Langkah Sheraton yang berlaku tanpa pilihan raya Parlimen,” katanya kepada FMT.
Langkah Sheraton pada 2020 membawa kepada kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan pertama, selepas Bersatu meninggalkan gabungan itu bagi membentuk kerajaan baharu bersama sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional.
Kebelakangan ini, spekulasi timbul berhubung Langkah Dubai, merujuk perbincangan didakwa diadakan di Emiriah Arab Bersatu antara pemimpin pembangkang dan wakil kerajaan tertentu bagi menggulingkan pentadbiran Anwar Ibrahim.
Akta Parlimen Penggal Tetap UK diperkenalkan pada 2011 yang menetapkan tarikh untuk PRU. Bagaimanapun, akta itu dimansuhkan sedekad kemudian dan perdana menteri diberikan kuasa semula untuk mengadakan PRU mengikut kehendaknya.
Penganalisis James Chin dari Universiti Tasmania mempersoalkan tujuan undang-undang itu diperkenalkan di Malaysia, memandangkan UK sendiri memansuhkannya pada 2022 selepas mendapatinya “tidak berguna”.
“Tidak, ia tidak akan menghalang Langkah Dubai atau Sheraton kerana langkah sedemikian mengenai pembentukan kerajaan oleh Ahli Parlimen yang mempunyai majoriti di Parlimen.
“(Akta Parlimen Penggal Tetap) tidak akan memberi sebarang impak langsung. Ini dua isu berbeza sama sekali.”
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara senada dengan Chin bahawa langkah politik sedemikian bertujuan membentuk kerajaan menerusi prosedur Parlimen, bukannya PRU.
Katanya, undang-undang sedemikian tidak dapat membantu mengurangkan atau menghalang gerakan menukar kerajaan.
Undang-undang itu antara beberapa pembaharuan politik dicadangkan pemimpin masyarakat sivil kepada kerajaan dan pembangkang bulan lalu.
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad yang kini menteri kesihatan turut membuat gesaan sama pada Februari 2023 atas alasan tindakan seperti itu akan membolehkan sesebuah kerajaan memenuhi mandat pentadbiran lima tahun dan mengelakkan ketidakstabilan politik sepanjang tempoh itu.
Oh berkata, untuk menghalang tindakan seperti Langkah Sheraton, undang-undang antilompat parti mesti melarang Ahli Parlimen bertukar kem, tidak kira untuk menyokong atau menentang perdana menteri.
Tetapi, Chin berkata, akhirnya semua bergantung kepada etika Ahli Parlimen itu sendiri.
“Selagi Ahli Parlimen mempunyai hak untuk berpaling tadah, tiada apa yang akan menghalang mereka, termasuk undang-undang sekalipun.”