Ahli Parlimen kerajaan pertahan Nga guna perkataan ‘Alhamdulillah’, bersyukur’

Ahli Parlimen kerajaan pertahan Nga guna perkataan ‘Alhamdulillah’, bersyukur’

Azli Yusof berkata perkataan itu juga digunakan orang bukan Islam di negara-negara Arab.

NGA KOR MING
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dituduh mempermainkan perkataan yang sering digunakan umat Islam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen mempertahankan Nga Kor Ming selepas seorang Ahli Parlimen pembangkang mengkritik menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu kerana kerap menggunakan istilah ‘Alhamdulillah’, ‘ bersyukur’ yang lazim dituturkan umat Islam.

Azli Yusof (PH–Shah Alam) berkata istilah itu turut digunakan oleh penduduk bukan Islam di negara-negara Arab.

“Sebagai orang Islam, saya sangat berbesar hati apabila yang berhormat (YB) mampu mengucapkan kalimah yang sering digunakan masyarakat Islam,” katanya di Dewan Rakyat.

Azli juga berkata beliau berharap suatu hari nanti Nga akan diberi hidayah.

Terdahulu, Nga ditegur oleh Siti Zailah Yusoff (PN–Rantau Panjang) kerana kerap menggunakan frasa seperti ‘sujud syukur’, ‘Alhamdulillah’ dan ‘bersyukur’.

“YB dalam penggulungan banyak guna kalimah orang Islam, nak sujud syukur, Alhamdulillah, bersyukur, adakah YB beriman? Adakah percaya dengan Allah? Kami tak mahu kalimah ini dipermainkan.

“Kami tak nak ia mengelirukan orang bukan Islam,” katanya.

Nga kemudian meminta Zailah, daripada PAS, supaya bertenang, dan berkata bahawa ‘Alhamdulillah’ ialah perkataan Arab yang dalam konteks beliau membawa maksud bersyukur.

Bagaimanapun, Zailah menegaskan bahawa ‘Alhamdulillah’ digunakan untuk memuji Allah, dan memberitahu Nga supaya tidak mempermainkan Islam.

Nga kemudiannya menggesa Ahli Parlimen supaya bertenang tidak membangkitkan isu yang boleh menjejaskan perpaduan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.