
Menggambarkan dirinya kini ‘bebas’, Hamzah berkata, beliau bersedia menerajui perjuangan baharu bagi ‘membantu membina negara’.
“18 Ahli Parlimen Bersatu umum sokong saya,” kata Ahli Parlimen Larut itu kepada pemberita selepas perhimpunan ‘Reset’ di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya hari ini.
Walaupun beliau tidak menamakan individu terbabit, kenyataan itu dibuat sehari selepas 16 Ahli Parlimen Bersatu menyokong seruan Naib Presiden Ronald Kiandee, yang juga wakil Beluran, supaya Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai presiden parti dan digantikan oleh Hamzah.
Enam belas Ahli Parlimen terbabit termasuk Zakri Hassan (Kangar); Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu); Roslan Hashim (Kulim-Bandar Baharu); Khlir Nor (Ketereh), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor); dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang).
Selain mereka, turut terlibat, Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Fathul Huzir Ayob (Gerik); Azahari Hasan (Padang Rengas); Nordin Ahmad Ismail (Lumut); Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota); Abdul Khalib Abdullah (Rompin); Kalam Salan (Sabak Bernam); Muslimin Yahaya (Sungai Besar); dan Islahuddin Abas (Mersing).
Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin, yang juga ketua Wanita Bersatu, turut hadir pada perhimpunan menyokong Hamzah hari ini.
Hamzah berkata, beliau tidak melihat dirinya sebagai ketua mana-mana gerakan baharu, sebaliknya sebagai nakhoda perjuangan untuk ‘membina negara ini bersama-sama’, ke arah konsensus nasional baharu demi kepentingan semua kaum.
“Mari sertai saya dalam perjuangan ikhlas untuk masa depan negara,” katanya menambah Ahli Parlimen yang menyokongnya tidak semestinya perlu keluar dari parti
“Saya bukan lagi dalam Bersatu. Jika ada Ahli Parlimen yang sokong saya, adakah mereka keluar parti? Tak semestinya.
“Yang penting mereka beri okongan secukupnya untuk kita laksanakan apa yang perlu dilakukan pada masa hadapan.”
Pilihan masih terbuka
Apabila ditanya hala tuju kumpulan yang menyokongnya, Hamzah berkata, semua pilihan kekal terbuka termasuk membentuk parti baharu.
“Boleh jadi parti baharu, atau parti lama dalam rumah baharu,” katanya.
Beliau menambah, keputusan sama ada terus dalam Perikatan Nasional (PN) atau mewujudkan gabungan baharu akan diputuskan bersama.
Mengenai spekulasi beliau menyertai Umno atau PAS, beliau hanya berkata: “Jika saya ada sokongan, saya akan pertimbangkan pilihannya.”
Beliau turut menafikan dakwaan mahu menyertai atau mengambil alih Berjasa, menyifatkannya sebagai khabar angin.
Berhubung peranannya sebagai ketua pembangkang, Hamzah berkata, beliau kekal sebagai Ahli Parlimen bebas, tetapi masih mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen PN.