
Syarikat Persada Oasis Travel & Tours Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya Mohd Firdaus Ahmad, 38, mengaku bersalah sebaik tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Hafiza Ishak.
Syarikat itu dan pengarahnya didakwa gagal mematuhi perintah award TTPM supaya syarikat berkenaan membayar masing-masing RM27,880 dan RM14,040 dalam tempoh 14 hari dari tarikh award diserahkan pada 27 Jun 2023, kepada dua wanita yang menuntut wang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat TTPM di sini pada 26 Julai 2023.
Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Khairul Azman Rosli manakala Mohd Firdaus tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 22 Feb ini untuk sebutan semula kes dan hukuman.