
Ketika ini, jumlah hari bersidang terpulang kepada budi bicara perdana menteri.
Pada 2023, Dewan Rakyat bersidang selama 74 hari, termasuk persidangan khas.
Ahli Parlimen Subang Wong Chen, berkata menambah hari persidangan sebagai paparan kepada kebertanggungjawaban pentadbiran.
Katanya, dewan sepatutnya bersidang selama 80 hari tahun ini, yang mana hari persidangan ditambah secara berperingkat dalam tempoh dua tahun untuk mencapai 100 hari setahun.
“Lebih penting, kita memerlukan sidang berlangsung pendek tetapi kerap – bukannya sidang panjang dipisahkan berbulan-bulan lamanya.
“Hari persidangan Parlimen sepatutnya diasingkan dalam dua minggu sekali, dan dua minggu berehat sebelum bersambung semula. Ini bagi membolehkan menteri diberikan masa menjalankan tugasan lain…kita boleh menjalankan sidang Parlimen bermula 2 petang hingga 8 malam,” katanya kepada FMT.
Dalam pada itu, Wong Chin Huat dari Sunway University merujuk Parlimen United Kingdom dan Kanada masing-masing bersidang 120 dan 135 hari setahun.
Katanya, ia menjadikan Ahli Parlimen bertugas “sepenuh masa” di negara tersebut.
“Di Malaysia, Ahli Parlimen hanya meluangkan masa sahaja di dewan, seakan-akan ia hanya kerja separuh masa.
“Kita sepatutnya bersidang sekurang-kurangnya 100 hari dengan sekurang-kurangnya satu perlapan atau suku diperuntukkan kepada urusan bukan kerajaan, yang mana kerajaan dan penyokong kerajaan menetapkan agenda mereka,” katanya.
Katanya, jika tidak dilakukan demikian Parlimen sekadar menjadi “lokasi kerja bermusim”. “Justeru, kita tidak perlu merungut berhubung menteri tidak ada pengalaman dan tidak kompeten.”
Wong Chen dan Chin Huat berkata, jumlah hari persidangan boleh ditetapkan dengan meminda Peraturan Tetap Parlimen.
Kedua-dua mereka mengulas laporan FMT berkait sidang Parlimen dijadual berlangsung 69 hari tahun ini. Sidang pertama tahun ini ditetap bermula 26 Feb hingga 27 Mac.