
Peguam Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, tarikh perbicaraan ditetapkan ketika pengurusan kes di hadapan Gan hari ini.
Menurutnya, saman fitnah Mahathir terhadap Zahid berhubung nama “Kutty” ditetapkan untuk perbicaraan selama empat hari mulai 13 Feb.
Dalam pernyataan tuntutannya, Mahathir mendakwa Zahid memfitnahnya ketika mesyuarat bahagian Umno di Kelana Jaya pada 30 Jul 2017.
Mahathir mendakwa kenyataan itu bertujuan membayangkan beliau bukan dilahirkan Melayu atau Islam, dan nama asal didakwa sebagai “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty”.
Dalam pernyataan pembelaannya, Zahid berkata nama “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty” itu merujuk kepada seorang individu berdasarkan maklumat dari salinan lama satu kad pengenalan.
Saman Zahid terhadap Mahathir pula ditetapkan untuk perbicaraan empat hari mulai 14 Okt. Zahid memfailkan saman itu selepas Mahathir mendakwa presiden Umno itu cuba mendapatkan bantuannya untuk “menggugurkan” tuduhan rasuah yang dihadapinya.
Perbicaraan kes berkenaan dijadualkan pada Nov lalu, tetapi dikosongkan kerana tiada hakim untuk menggantikan Hakim Rozana Ali Yusoff, yang dipindahkan ke Pulau Pinang pada Ogos.