Langkah Dubai: Setpol Anwar lapor polis

Langkah Dubai: Setpol Anwar lapor polis

Setiausaha politik kanan perdana menteri berkata laporan dibuat bagi menamatkan spekulasi yang boleh mencetuskan keresahan rakyat.

Shamsul Iskandar Mohd Akin menunjukkan laporan polis dibuat berhubung gerakan ‘Langkah Dubai’ di IPD Putrajaya.
PUTRAJAYA:
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin membuat laporan polis meminta pihak berkuasa melakukan siasatan berhubung gerakan digelar “Langkah Dubai” yang mahu menjatuhkan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, laporan itu dibuat bagi menamatkan spekulasi yang boleh mencetuskan keresahan rakyat serta memberi kesan kepada keyakinan pelabur.

Katanya, pendedahan terbaru dibuat penulis blog Raja Petra Kamaruddin jelas membuktikan wujud gerakan bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan kerajaan meskipun sedar ia tindakan sia-sia.

“Gerakan Langkah Dubai ini jelas satu tindakan yang bukan sahaja mengganggu-gugat sistem demokrasi berparlimen, malah sia-sia kerana Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan, menghalang sebarang usaha menukar perdana menteri dan kerajaan di tengah-tengah pentadbiran.

“Cubaan untuk mewujudkan ketidakstabilan politik yang boleh mengancam keselamatan negara mesti digagalkan,” katanya ketika ditemui selepas selepas membuat laporan di IPD Putrajaya, sambil memaklumkan ia turut dilakukan di 12 lokasi seluruh negara oleh Pemuda PKR.

Mengulas kenyataan pemimpin pembangkang bahawa kerajaan tidak perlu panik kerana langkah sama dilakukan Anwar semasa menjadi ketua pembangkang, Shamsul berkata undang-undang yang ada hari ini berbeza selepas Parlimen meluluskan Akta Anti Lompat Parti.

“Akta ini digubal untuk menghalang tindakan seperti rakyat saksikan berlaku perubahan PM beberapa kali sebelum ini. Penamatnya apabila kita menggubal undang-undang ini dan melaksanakannya.

“Dalam keadaan sekarang, tindakan seperti itu (jatuhkan kerajaan) tidak boleh sewenangnya berlaku dan kalau betul ada ketidakpuasan hati, sewajarnya dibawa ke Parlimen dan tidak perlu buat cerita yang meresahkan rakyat, sekali gus memberi kesan terhadap ekonomi negara,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Ismail Yusop, mendakwa wujud “Langkah Dubai” membabitkan pertemuan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan blok kerajaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menteri Besar Kedah Sanusi Nor kemudian mengesahkan wujud rancangan pembangkang menjatuhkan kerajaan mengikut proses dibenarkan Perlembagaan.

Terbaru, beliau yang juga ketua pengarah pilihan raya PN mendakwa sudah mempunyai jumlah sokongan Ahli Parlimen mencukupi bagi membolehkan gabungan itu mengambil alih pentadbiran negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.