
Pengarah Zon Maritim Malaysia Kuala Kurau, Mohd Najhan Azman Hamid, berkata semua warga Myanmar berkenaan ditahan kerana melanggar syarat sah lesen.
Beliau berkata, mereka melakukan aktiviti penangkapan ikan sebelum dikesan bot peronda Maritim Malaysia menerusi rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang.
“Hasil pemeriksaan terhadap ketiga-tiga bot menemui enam nelayan warga Myanmar dan setiap bot mempunyai dua kru termasuk tekong.
“Semua mereka berumur antara 24 hingga 35 tahun dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen bot mendapati semua bot terbabit memiliki lesen sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemilik dan tiada kebenaran penggunaan kru warga asing oleh ketua pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan malam tadi, lapor Berita Harian.
Najhan berkata, semua nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan ditahan serta dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri sah dan Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemilik serta tiada kebenaran penggunaan kru warga asing yang sah.