Selesai masalah dengan cara tersendiri, pesan Jomo

Selesai masalah dengan cara tersendiri, pesan Jomo

Perangkap pendapatan sederhana boleh diselesaikan melalui pemikiran yang kritikal tanpa bergantung pada naratif asing.

Penasihat KRI, Jomo Kwame Sundaram berkata kerajaan perlu gubal dasar menyeluruh tanpa bersifat terpilih, dan mempunyai kesan yang dapat dirasai lebih banyak rakyat.
PETALING JAYA:
Malaysia perlu menyelesaikan masalah membelenggu negara khususnya berkaitan hal ehwal ekonomi menggunakan pendekatan tersendiri tanpa bergantung pada pendekatan asing, kata Jomo Kwame Sundram.

Mengambil perangkap pendapatan sederhana sebagai contoh, penasihat Khazanah Research Institute itu yakin isu itu boleh diselesaikan melalui pemikiran yang kritikal tanpa bergantung pada naratif asing.

“Kita banyak mengimport wacana daripada Washington dan Davos kerana itu kaedah paling popular, tetapi kita perlu keluar dari semua itu dengan mengkaji dan mengenalpasti masalah kita sendiri dan cara untuk keluar dari masalah itu,” katanya, pada majlis pelancaran buku bertajuk “Anwar Ibrahim: Tenacious in Dissent, Hopeful in Power,” petang tadi.

Mengambil percukaian pula sebagai contoh, Jomo berkata Malaysia banyak menggunakan model bersifat regresif tinggalan penjajah yang mesra golongan kaya.

“Model lama percukaian yang tidak mengenakan cukai kekayaan dan pendapatan dibuat untuk kepentingan penjajah pada zaman dulu, tidak berubah sehingga hari ini menjadikan model percukaian kita bersifat regresif.

“Sedangkan sepatutnya ia perlu bersifat progresif, diagihkan daripada golongan kaya kepada miskin,” tegas Jomo.

Disebabkan itu katanya, sistem percukaian negara dianggap berat sebelah.

“Dua bajet kerajaan perpaduan sebelum ini semuanya bersifat regresif, bukan progresif… usaha untuk mengenalpasti sama ada seseorang itu B40 atau tidak itu membuang masa.

“Seharusnya bantuan dan dasar kerajaan bersifat lebih universal,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga perlu gubal dasar menyeluruh tanpa bersifat terpilih, dan mempunyai kesan yang dapat dirasai lebih banyak rakyat.

“Fokus dasar yang mempunyai kesan maksimum dan bersifat lebih menyeluruh berbanding bersasar. Kamu membelanjakan sedikit perbelanjaan di satu segi tetapi membelanjakannya dengan banyak untuk kumpulan sasaran tetapi kesan yang sangat kecil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.