CEP tak pernah keluar laporan, kata Jomo

CEP tak pernah keluar laporan, kata Jomo

Pakar ekonomi itu menganggotai Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan Dr Mahathir Mohamad pada 2018.

Jomo Kwame Sundaram berkata, beliau mendesak pembaharuan dilakukan, tetapi gagal dan cadangan mengenai GST tidak diendahkan.
PETALING JAYA:
Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang ditubuhkan pada 2018 tidak pernah mengeluarkan laporan, kata pakar ekonomi, Jomo Kwame Sundaram.

“Tiada laporan sedemikian, kami tak pernah bekerjasama dalam laporan sedemikian,” katanya dalam program anjuran Persatuan Oxford dan Cambridge Malaysia.

Beliau berkata, CEP yang ditubuhkan kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad itu diberi mandat selama 100 hari.

“Satu laporan disediakan sekretariat di bawah bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin. Tetapi, tiada laporan mengenai keseluruhan CEP.”

CEP ditubuhkan sejurus Pakatan Harapan berkuasa selepas PRU14 pada 2018. Selain Jomo dan Daim, anggota lain termasuk bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Petronas, Hassan Merican serta taikun Robert Kuok.

Pembaharuan diabaikan

Jomo berkata, ketika menganggotai CEP, beliau cuba mendesak pembaharuan dilakukan, khasnya cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Berbanding memansuhkan GST, saya mencadangkan pembentukan pihak berkuasa cukai bersepadu, bukannya bersegmen. Ketua Kastam sangat terbuka terhadap cadangan pembaharuan ini.

“Malangnya, menteri (kewangan) ketika itu dan mungkin perdana menteri tidak pernah mempertimbangkan pembaharuan ini, sepanjang pengetahuan saya. Jadi, tiada perbincangan mengenainya.”

Sektor kesihatan

Jomo berkata, beliau turut mendesak pembaharuan untuk meningkatkan pembiayaan bagi sektor kesihatan, tetapi tidak nampak sebarang komitmen menambah dana oleh kerajaan.

“Saya gembira tahun lalu apabila Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamluddin mahu menambah perbelanjaan kerajaan untuk kesihatan kepada 5%, berbanding 4% yang dijanjikan PH.

“Tetapi, seperti kita tahu tiada apa yang berlaku. Ia tidak dicerminkan dalam belanjawan sebelum Parlimen dibubarkan November lalu.”

Isu pengeluaran simpanan KWSP

Mengenai desakan kumpulan tertentu bagi pengeluaran disasarkan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jomo berkata, KWSP menjadi isu untuk kepentingan politik masing-masing.

“Kepimpinan Umno dan pihak lain secara dasarnya berusaha keras dalam beberapa tahun ini untuk membolehkan rakyat mengeluarkan sebanyak mungkin simpanan daripada KWSP.

“Saya merasakan orang tua tidak mempunyai banyak pilihan, kecuali terus bekerja selagi mampu (jika simpanan KWSP mereka berkurangan).

“Ia mungkin bukan perkara buruk untuk kita bekerja lebih lama, tetapi memandangkan kesihatan tidak baik yang dilihat pada semua orang, saya sangat bimbang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.