
Anwar, yang juga menteri kewangan berkata, pelaburan diluluskan bagi suku pertama 2023 adalah berjumlah RM71.4 bilion iaitu peningkatan 60% daripada suku pertama 2022, mencatatkan RM44.7 bilion.
“Saya rasa kestabilan politik itu sesuatu yang menyakinkan sehinggakan perlaburan lebih rancak sekarang daripada dulu, (apa) yang penting bukan sekadar pengumuman dan memorandum persefahaman (MoU) tetapi pelaksanaannya.
“Ini sepertimana pelaburan daripada Tesla dalam kenderaan elektrik (EV), Amazon Web Services (AWS) bernilai RM25.5 bilion menjelang tahun 2037, Rongsheng Petrochemical, dan Geely sebagai permulaan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Hamzah Zainudin (PN-Larut) dan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai keyakinan pelabur dan dasar ekonomi utama Malaysia.
Anwar berkata, jika dasar ekonomi negara mengelirukan, maka pertumbuhan Malaysia tidak akan dapat mengatasi pertumbuhan Indonesia, Vietnam, dan China.
Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.6% pada suku pertama 2023, lebih baik berbanding negara serantau seperti Indonesia (5%), China (4.5%), dan Vietnam (3.3%).
Pertumbuhan itu juga adalah lebih kukuh berbanding unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) untuk 2023 iaitu 4 hingga 5%, katanya.
“Kalau dasar (kita) celaru, tidak mungkin pelaburan datang dan pelaburan ini serius sebab sebulan selepas ke China, Geely datang bukan saja melancarkan Proton tapi juga mencadangkan supaya disegerakan projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Proton City, Tanjong Malim,” katanya.
Anwar berkata, keyakinan terhadap pengurusan ekonomi kerajaan juga terbukti apabila agensi penarafan kredit Fitch (Februari 2023) dan Moody’s (April 2023) mengekalkan penarafan kredit Malaysia.
Sementara itu, mengenai 1MDB, beliau berkata, penyelesaian dengan pihak International Petroleum Investment Company (Ipic) melibatkan USD1.8 bilion akan diteruskan.
“Seperti semua tahu Putera Mahkota Abu Dhabi (Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan) hadir (di Malaysia) sekarang untuk meneruskan langkah-langkah perbincangan termasuk pelaburan,” katanya.
Beliau berkata, penyelesaian 1MDB adalah antara usaha kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan tata kelola yang menghasilkan kemajuan positif.