Kerajaan pastikan reformasi dasar ekonomi beri impak minimum kepada rakyat

Kerajaan pastikan reformasi dasar ekonomi beri impak minimum kepada rakyat

Jika usaha seperti penyasaran subsidi tidak dilakukan, ia akan melemahkan ekonomi negara, kata PM.

ANWAR IBRAHIM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berharap semua pihak bersedia meningkatkan keupayaan ekonomi dan fiskal bagi menjayakan Akta Tanggungjawab Fiskal negara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan komited untuk memastikan pelaksanaan pembaharuan dasar ekonomi Madani hanya memberi impak minimum atau tidak memberi dampak kepada rakyat secara umum, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan mengambil langkah untuk melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), Dasar Gaji Progresif dan Dasar Gaji Minimum bagi membantu rakyat meningkatkan kualiti hidup dan membangunkan keupayaan mereka untuk menyesuaikan diri.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, sekiranya usaha pembaharuan seperti penyasaran subsidi tidak dilakukan, ia akan melemahkan ekonomi, kekuatan fiskal, penarafan dan pelaburan negara.

“Kita akui sejak zaman merdeka sehingga sekarang, tidak pernah tidak ada inflasi. Walaupun mengalami kenaikan kecil, harga minyak, tepung, minyak mentah, kesemuanya masih rendah berbanding negara jiran,” kata beliau pada sesi dialog awam Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof, Jemaah Menteri serta Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar juga berharap semua pihak bersedia meningkatkan keupayaan ekonomi dan fiskal bagi menjayakan Akta Tanggungjawab Fiskal negara.

Beliau yakin, usaha kerajaan akan membuahkan hasil dengan kerjasama seluruh rakyat termasuk sektor swasta bagi memastikan dasar gaji kerajaan dapat dilaksanakan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Saya masih yakin, setelah melihat prestasi kita dalam dua tahun ini dengan pasukan penjawat awam dan sektor swasta serta semangat generasi muda diberi Latihan,” katanya.

“Jika kita dapat teruskan dan tingkatkan lagi pengurusan sekarang, berilah ruang, kita akan melihat wajah negara di dalam negara dan seantero dunia serta Malaysia baharu akan dilihat gagah dan hebat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.