
Mereka percaya akta lompat parti tidak boleh terpakai ke atas mana-mana wakil rakyat yang melompat keluar daripada gabungan baharu, memandangkan pencalonan mereka untuk pilihan raya dibuat oleh parti masing-masing, menerusi watikah yang ditandatangani oleh pemimpin tertinggi.
“Sewaktu kita buat dengan Suruhanjaya Pilihan Raya kita mewakili parti mana?” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Razlan Rafii, yang percaya gabungan PH-BN tidak akan dapat hentikan cubaan menarik wakil rakyat mengalih sokongan.
Beliau menambah sebarang perubahan hanya boleh berlaku menjelang pilihan raya. “Itu masa bertandinglah, tak boleh sekarang,” kata Razlan.
Senada dengan pandangan itu, penganalisis Mazlan Ali berkata gabungan baharu oleh PH-BN tidak akan banyak memberikan kesan sebelum PRU16.
“Kecuali PRU16 akan datang semua bertanding guna satu lambang dan watikah seorang sahaja yang tandatangan,” katanya.
Mengambil Umno sebagai contoh, Mazlan berkata kepatuhan wakil rakyat kepada pemimpin tertinggi masing-masing menjadi faktor penting pada keteguhan kerajaan perpaduan.
“Macam Umno…boleh halang (lompat parti) kecuali Zahid Hamidi tidak lagi jadi presiden,” katanya.
Kerajaan semasa diasaskan oleh PH, Gabungan Parti Sarawak, BN, dan Gabungan Rakyat Sabah yang menyahut seruan Yang di-Pertuan Agong untuk memecah kebuntuan politik seusai PRU15.
Sejak awal pentadbiran Anwar Ibrahim, pemimpin pembangkang seringkali mendakwa kerajaan akan tumbang melalui peralihan sokongan ahli Parlimen.
Terbaharu, Anwar turut mengesahkan dakwaan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) wujud usaha menjatuhkan kerajaan melalui Langkah Dubai, dengan terdapat ejen tertentu dilantik untuk memujuk Ahli Parlimen agar mengalih sokongan.